Biarpun taruhan dalam Sukan SEA Filipina terdiri daripada beberapa muka baru, jurulatih silat negara, Mazlan Shaari, optimis mampu mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Setelah melihat prestasi anak buahnya dalam Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa Belgium, April lalu, pungutan lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa melahirkan keyakinan terhadap anak buahnya untuk mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun, prestasi mereka tetap bakal diuji semula dalam Kejuaraan Silat Kebangsaan pada 25 September ini sebelum terbang ke Filipina.

Kejuaraan itu juga menjadi medan buat Mazlan untuk mempersiapkan barisan pesilat negara daripada segi teknik bagi menghadapi pencabar sengit, Indonesia dan Vietnam.

"Kami telah membuat persiapan menghadapi halangan daripada Indonesia dan Vietnam. Saingan kebangsaan yang bakal dihadapi setiap pesilat negara akan menjadi medan mengukur keupayaan lawan di Manila nanti," katanya.

Sementara itu, jurulatih silat seni negara, Nasri Nasir, mengakui barisan pesilat seni perlu memberikan tumpuan dan usaha dalam latihan jika mahu menyumbang pingat buat negara ekoran kekurangan kejohanan.

"Silat seni tidak memiliki kejohanan yang banyak sehinggalah Terbuka Malaysia. Kami lebih mengutamakan mutu dalam sesi latihan bagi mendapatkan persembahan terbaik dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Di samping itu, pesilat lelaki negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir, bertekad menjadikan Sukan SEA kali ini yang bermakna buatnya bagi meraih hatrik pingat emas dalam temasya tersebut.

Faizul, yang akan mengetuai skuad silat kebangsaan ke Filipina, November depan, menjelaskan bahawa dia dan rakan sepasukan mampu mencapai sasaran meskipun tiada kelibat Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir dalam saingan silat di Manila nanti.

"Saya berharap untuk memberikan yang terbaik di Manila nanti. Saya mahu mengekalkan pingat emas yang diraih sejak dua edisi Sukan SEA lalu seperti yang dilakukan oleh Al-Jufferi dan Siti Rahmah, sekaligus membantu kontinjen mencapai sasaran pingat emas," katanya.