Kegagalan pesilat elit negara, Muhammad Faizul M Nasir, mempertahankan pingat emas kelas Putra B (50-55kg) tidak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk mencapai sasaran dua pingat emas dalam Sukan SEA Ke-30 ini.

Pengurus skuad pencak silat negara, Zaihan Mohd Isa, menegaskan walaupun Muhammad Faizul tewas 0-5 kepada pesilat tuan rumah, Dines Dumaan, dalam pusingan kedua di Subic, beliau percaya pesilat yang lain mampu menebus kekecewaan berkenaan berdasarkan latihan intensif yang dijalankan di pelbagai tempat sebelum berlepas ke Filipina.

Kekalahan tersebut menyaksikan Muhammad Faizul gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam edisi 2015 di Singapura dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kami masih ada beberapa lagi pesilat yang akan berjuang dan jangan rasa tertekan.Yang penting, atlet kita perlu bersemangat dan menanam keazaman dalam memburu (dua) pingat (emas) kali ini," katanya ketika ditemui Bernama pada hari kedua acara pencak silat di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic hari ini.

Dalam pada itu, Zaihan menjelaskan Muhammad Faizul kini di bawah pemantauan doktor pakar pusat perubatan The Medical City di Clark susulan kecederaan serius di bahagian mukanya ketika berdepan Dumaan.

"Muhammad Faizul sebelum ini dikejarkan ke Hospital James L. Gordon Memorial dan dipindahkan ke Pusat Perubatan dan Hospital Baypointe, namun terpaksa dirujuk kepada doktor pakar The Medical City disebabkan dua hospital berkenaan kekurangan doktor pakar.

"Kami menyerahkannya kepada pihak hospital untuk memberi rawatan terbaik kepada Muhammad Faizul dan saya difahamkan pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN) akan turut membantu sekiranya diperlukan," jelasnya.

Kekecewaan Muhammad Faizul itu berjaya ditebus oleh Zulfakar Zulfazly yang menundukkan pesilat tuan rumah, Alvin Campos, menerusi keputusan 4-1 dalam kelas Putra D (60-65kg).

Dua pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan dan Nur Syazerra Hidayah Idris, bagaimanapun, gagal ke pusingan seterusnya setelah kalah kepada lawan masing-masing.

Nor Farah tewas 1-4 kepada pesilat Vietnam, Pham Thi Tuoi, dalam kelas Puteri A (45-50kg) manakala Nur Syazerra Hidayah kecundang 0-5 kepada pesilat Indonesia, Kause Jeni Jeni, dalam kelas Puteri B (50-55kg).

Untuk rekod, Malaysia sudah meraih satu emas dan satu gangsa, masing-masing menerusi kategori ganda putra dan regu putra pada hari pertama acara pencak silat semalam.

-- BERNAMA