Skuad sepak takraw negara melaungkan amaran awal dalam misi menumbangkan Thailand apabila garang menundukkan tuan rumah, Filipina, 3-0 dalam perlawanan pertama acara regu berpasukan Sukan SEA Filipina di Gimnasium Teluk Subic, sebentar tadi.

Regu pertama skuad negara (Ahmad Aizat Nor Azmi, Amirul Zazwan Amir, Afifuddin Razali) turun tanpa sebarang masalah untuk menguasai set pertama 21-9 sebelum menempa jalan mudah dalam set kedua untuk memastikan skuad negara mendahului permainan 1-0 hasil kemenangan 21-13.

Said Ezwan Said De, Farhan Adam dan Hafizul Hayazi Adnan yang turun sebagai regu kedua turut tampil garang dengan mengekalkan momentum sama untuk memenangi set pertama 21-12.

Regu Filipina cuba bangkit menghadirkan tentangan dalam set kedua sehingga kedudukan terikat 13-13 sebelum mereka berjaya merampas pendahuluan.

Namun, regu negara tetap tenang untuk menyusun gerakan bagi meraih mata demi mata sebelum memastikan kemenangan 2-0 menerusi keputusan 21-19.

Memasuki regu ketiga, aksi tuan rumah makin longlai dengan set pertama memihak regu negara apabila kecemerlangan aksi yang dipamerkan oleh Zarif Marican Ibrahim, Aidil Aiman Azwani serta Khairol Zaman Hamir Akhbar mengesahkan kemenangan mutlak 3-0 ke atas tuan rumah itu.

"Saya telah mengingatkan pemain agar fokus kepada satu persatu perlawanan.

"Saya tidak mahu terlampau memberi tekanan kepada mereka.

"Saya mahu mereka gembira dan dalam keadaan berperang, berjuang habis-habisan ketika bertemu Thailand dan Myanmar esok," kata jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.