Pengurus pasukan sepak takraw wanita negara, Wan Mohd Husni Abdullah, digantung tugas oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi kesalahan disiplin dalam Sukan SEA Ke-30.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, Wan Mohd Husni didakwa melaungkan perkataan tidak sopan dari kawasan tempat duduk penonton ketika aksi final regu lelaki di antara Malaysia dan Thailand di Gimnasium Subic, Ahad lalu.

Beliau didakwa meluru secara agresif ke arah pengadil di gelanggang, Roy Fabay, dan menjerit kenapa keputusannya tidak memihak kepada Malaysia.

“Wan Mohd Husni diberi tempoh 14 hari untuk memberikan keterangan ringkas mempertahankan dirinya kepada Jawatankuasa Disiplin ASTAF.

"Jika (tuduhan) dibuktikan, beliau mungkin berdepan hukuman diberi amaran, denda, digantung, larangan seumur hidup atau gabungan daripada mana-mana hukuman itu. Beliau digantung serta-merta oleh Pengurus Pertandingan Sukan SEA, Prof Jolly Laboy, kelmarin daripada turut serta dalam baki pertandingan.

“Sehingga Jawatankuasa Disiplin ASTAF membuat keputusan selanjutnya, beliau tidak boleh menyertai mana-mana aktiviti sepak takraw, termasuk sebagai jurulatih, pengurus pasukan dan pemain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA dengan dua pingat perak daripada regu lelaki dan regu berpasukan manakala pingat gangsa daripada regu wanita.

-- BERNAMA