Ketua jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, enggan mengharapkan keajaiban untuk memenangi pingat emas dalam acara regu berpasukan Sukan SEA Filipina setelah kecundang 0-3 di tangan musuh tradisi, Thailand, hari ini.

Pertemuan menentang Thailand selaku juara bertahan itu diibaratkan misi hidup mati buat Malaysia dalam saingan yang diadakan secara round robin itu.

Ia kerana kemenangan ke atas seteru utama itu mampu mencerahkan peluang memenangi emas setelah menewaskan Filipina 3-0 dalam aksi pertama.

Namun, anak buah Abdul Talib gagal membendung kehebatan Thailand apabila ketiga-tiga regu negara tumbang dalam perlawanan masing-masing.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kebangsaan tampak terus kempunan meraih emas dalam acara regu berpasukan yang kali terakhir dimenangi ketika edisi 1991 di Manila.

"Kalau diikutkan di atas kertas, memang Thailand akan mendahului kumpulan tetapi bagi saya, selepas ini kami mempunyai saingan antara regu dan diharapkan pemain negara beraksi dengan lebih baik," kata Abdul Talib.

"Kami cuba yang terbaik tetapi tidak tahu apa yang berlaku," tambah pemain negara, Khairol Zaman Hamir.