Perenang negara, Welson Sim, belum mengangkat bendera putih dalam memburu kejayaan dalam Sukan SEA Filipina selepas gagal mempertahankan pingat emas acara 400 meter di Pusat Akuatik Bandar Raya New Clark, sebentar tadi.

Atlet berusia 22 tahun tersebut tidak berpeluang untuk meraih pingat emas hatrik dalam acara kegemarannya itu selepas melakukan catatan 3 minit 49.55 saat untuk kedudukan kedua.

Welson, yang belum berputus asa, bertekad membutir emas dalam dua baki acara individu yang akan disertai, iaitu 100 dan 200 meter gaya bebas.

"Catatan 3:49.55s menghampiri masa peribadi terbaik saya.

"Sebenarnya tiada seorang pun dalam kalangan peserta yang membuat catatan peribadi terbaik dan malangnya kilauan pingat yang saya menangi, perak, bukanlah seperti yang saya harapkan.

"Saya minta maaf dan turut berasa kecewa dengan renangan sendiri," katanya.

Sementara itu, perenang yang berpangkalan di Melbourne, Australia, selama lima bulan itu mengakui tidak menjangka mampu menyumbang pingat gangsa dalam acara 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti selain menganggap ia sebagai pengubat duka.

"Saya masih mempunyai empat acara lagi, masing-masing dua dalam acara individu dan berganti-ganti.

"Saya mahu mempertahankan emas dalam 200m gaya bebas pada hari keempat acara renang."