Ketua jurulatih skuad renang negara, Chris Martin, kekal berahsia dengan senarai akhir atlet yang akan ke Sukan SEA Filipina tatkala fokusnya kini terarah kepada persiapan Piala Dunia di Doha, Qatar, awal bulan depan.

Senarai perenang ke Filipina akan diumumkan minggu hadapan dengan Martin kini menumpukan kepada persediaan saingan yang menyaksikan empat perenang negara akan menggalas cabaran di Qatar iaitu Keith Lim, Khiew Hoe Yan, Chan Jie dan Tia'a Fang Der.

Malah, pengendali itu menganggap ia bakal menjadi pendedahan terbaik buat skuad negara selepas kali terakhir menyertai kejohanan tiga bulan lalu.

Dia menyandarkan harapan kepada perenang dari Sarawak, Welsom Sim, agar menjadi penanda arah buat muka baru yang bakal membuat penampilan dalam Sukan SEA tahun ini.

"Buat masa ini, tumpuan saya terarah kepada membawa perenang menghadapi cabaran Piala Dunia yang akan bermula 5 November depan. Bagi saya, ia dapat membantu atlet muda memandangkan ada antara mereka yang berdepan dengan jadual yang padat," ujar Martin.

Sementara itu, perenang muda negara, Keith Lim, percaya pendekatan berbeza diterapkan jurulatih dari Amerika Syarikat itu bakal membantunya meraih pingat jika terpilih ke Filipina.

"Sehingga kini, latihan berjalan lancar dan saya harap dapat mencatat keputusan lebih baik berbanding Sukan SEA sebelum ini. Ia bergantung kepada sesi latihan kami. Jelas sekali pengendali hanya melatih dan segalanya bergantung kepada kami," katanya.