Perenang negara, Phee Jinq En, berdepan tekanan untuk mempertahankan pingat emas yang menjadi miliknya dalam edisi sebelum ini menjelang saingan 100 meter kuak dada Sukan SEA Filipina.

Dia yang selangkah lagi untuk meraih hatrik emas Sukan SEA menganggap cabaran sukar daripada Thailand dan Singapura menantinya selepas berada di kedudukan ketiga dalam saringan awal.

Ia juga merupakan peluang terakhirnya bagi menyumbang emas kedua buat skuad renang negara selepas acara 50m kuak dada, Jumaat lalu.

"Sejujurnya, saya agak tertekan dengan acara ini selepas memegang status juara bertahan sebelum ini. Saya tidak mahu memberikan apa-apa janji kerana semua sangat pantas ketika final. Tekanan terarah kepada saya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Chan Jie, mahu memberi tumpuan memburu pingat terakhir sebagai penutup kempen Sukan SEA dalam acara 4x100 rampaian.

"Saingan 'relay' agak sengit. Kami menyasarkan untuk mendapat pingat kerana gagal dalam edisi sebelum ini. Jadi, kali ini kami sasarkan pingat," katanya.