Renang: Jinq En ke final berbekal rekod kebangsaan 

Oleh Staff Writer 6 Disember 2019 511
Renang: Jinq En ke final berbekal rekod kebangsaan 
Perenang wanita negara, Phee Jinq En, mengatasi rekod miliknya sendiri dalam acara 50 meter kuak dada Sukan SEA Filipina dalam laluan ke saingan akhir hari ini. 

Jinq En beraksi cemerlang dalam saringan awal acara tersebut selepas melakukan catatan masa 31.40 saat untuk kedudukan teratas. 

Catatan itu turut memadamkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, 31.46s, yang dilakarnya dalam Sukan Asia Palembang tahun lalu. 

Atlet berusia 22 tahun itu menganggap bukan mudah untuk mengatasi wakil Singapura, Christie May Chue, yang akan menjadi pencabar sengit kepadanya. 

"Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa kerana jelas sekali Christie sangat pantas. 

"Saya tergamam melihat renangannya sebelum saya turun beraksi. 

"Saya perlu di tahap terbaik pada malam ini," katanya. 

Seorang lagi wakil negara, Alicia Soosai, turut akan mencabar dalam saingan akhir apabila menduduki tangga kelapan dengan catatan 33.37s. 

"Perlumbaan pada pagi ini agak bagus.

"Saya mahu mengatasi catatan peribadi terbaik dalam saingan akhir ini," katanya. 




 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen