Phee Jinq En membutirkan pingat emas pertama skuad renang negara dalam Sukan SEA Filipina apabila mengungguli acara 50 meter kuak dada wanita di Pusat Akuatik New Clark City hari ini.

Selepas memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 31.40 saat dalam pusingan kelayakan, perenang negara itu mengulangi catatan masa sama untuk meraih emas dalam final.

Perak milik perenang Thailand, Jenjira Srisa Ard (31.41s) manakala peserta Singapura, Christie May Chue (31.43s), gangsa.

"Saya takut kerana kami masih belum menang sebarang emas.

"Ia sudah hari ketiga dan kami benar-benar memerlukannya.

"Saya memecahkan rekod kebangsaan pagi tadi dan ia agak baik.

"Selalunya, saya akan lebih perlahan pada sebelah petang kerana sudah penat.

"Tetapi saya benar-benar mahukannya (emas)," katanya

Dalam pada itu, perenang muda negara, Khiew Hoe Yean, berpuas hati dengan prestasinya apabila menyumbangkan pingat gangsa dalam acara 200 meter kuak lentang.

"Saya amat gembira kerana tidak sangka akan dapat keputusan yang baik," katanya.