Skuad ragbi 7s lelaki negara berdepan cabaran sengit untuk mempertahankan kejuaraan Sukan SEA Filipina 2019 hujung bulan ini apabila kebanyakan negara, terutama tuan rumah, turun dengan beberapa pemain naturalisasi.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menyaksikan skuad lelaki negara meraih pingat emas di laman sendiri.

Bagi temasya dwitahunan itu kali ini, tugas berat buat Malaysia apabila turun selaku juara bertahan selain perlu mempertahankan pingat emas di tempat lawan.

Kejayaan dua tahun lalu meletakkan skuad lelaki sebagai prospek emas negara dan pasukan wanita hanya perlu memburu slot ke pentas akhir.

"Filipina antara pencabar kuat dan kami pula perlu mengekalkan pingat emas di sana.

"Sudah tentu tekanan akan ada tetapi kami akan bermain seperti biasa dan sehabis baik.

"Pemain-pemain sedar sokongan yang diberikan di Malaysia dan ia akan menjadi bekalan semangat buat mereka," kata ketua jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi.

Skuad negara sebelum ini melaungkan amaran awal sebaik berjaya merangkul gelaran Kejohanan Trofi Asia 7s di Jakarta, Ogos lalu.

Keunggulan itu akan menjadi pembakar semangat dan menyuntik keyakinan buat mereka dalam memburu kejayaan berganda.

Justeru, ketua jurulatih itu mengambil tindakan berani apabila membuat rombakan pasukan dengan menyenaraikan tujuh muka baru yang akan menjadi taruhan di Filipina.

Bagaimanapun, kapten pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail, menjelaskan rombakan tersebut tidak merencatkan persiapan pasukan serta persefahaman antara mereka.

"Muka-muka baru bukan asing dengan kami. Mereka pantas menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan negara.

"Lagipun mereka terdiri daripada senarai awal skuad 2017, jadi tiada masalah," kata Nasharuddin.