Selepas menjuarai dua siri kejohanan di Bangkok dan Jakarta, jurulatih skuad ragbi 7s negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, menyifatkan pembentukan pasukannya sebagai sempurna dalam misi mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina.

Skuad negara seperti mendapat suntikan semangat apabila menjuarai Kejohanan Ragbi Chang 7s kategori piala di Thailand dan Piala Asia di Indonesia bulan lalu.

Bagi edisi 2019, pengendali berusia 36 tahun itu mengekalkan lapan pemain yang beraksi dua tahun lalu sambil menyerapkan empat pemain baru bagi membentuk skuad ampuh dalam cabaran di Filipina bermula 30 November depan.

"Pasukan ini telah menampilkan peningkatan dan mereka sudah mempamerkan kematangan untuk beraksi dalam Sukan SEA di Manila nanti," katanya.

Di samping itu, kapten pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail, optimis kemenangan milik Malaysia dengan kelebihan kombinasi pemain yang menjalani persiapan sejak Januari lalu.

Turut melaungkan nada keyakinan ialah Muhammad Azizul Hakim untuk penampilan sulungnya dalam Sukan SEA meskipun mengakui menghadapi tekanan dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

"Pemain yang baru dipanggil menyertai pasukan telah berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang telah diterapkan. Saya berasakan kami dapat memberikan persembahan yang terbaik," kata Nasharuddin.