Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan memantau keadaan ketua jurulatih skuad 7s negara, Saizul Hafifi Mohd Noor, yang menjalani pembedahan lutut minggu lalu.

Timbalan presidennya, Amir Amri Mohamad, berkata Hafifi memerlukan masa sebulan untuk pulih sebelum kembali melatih skuad negara ke Sukan SEA Filipina hujung bulan depan.

Jumaat lalu, Hafifi dikatakan terjatuh dan mengenai bucu longkang sehingga mengakibatkan kecederaan serius kepada lutut kanannya.

Menurut Amir Amri, kejadian itu berlaku ketika Hafifi sedang membawa Kelantan beraksi dalam saingan Piala Agong bertemu Johor di Kota Tinggi.

"Saya difahamkan tempurung lututnya pecah dan doktor memaklumkan Hafifi hanya akan boleh berjalan dalam masa sebulan.

"Buat masa ini, kami akan bagi rehat yang secukupnya dan akan pantau perkembangan Hafifi dari semasa ke semasa," katanya.

Keadaan itu, jelas Amir Amri, diharap tidak akan menjejaskan semangat pemain negara untuk mempertahankan pingat emas dalam temasya dwitahunan tersebut.

Moral Malaysia juga, katanya, di landasan terbaik selepas menjuarai Ragbi Asia 7s di Jakarta, Ogos lalu, sekali gus menjadi tonik terbaik ke Filipina.

"Saya akan melawat (Hafifi) hari ini dan kalau boleh memang KRM menagih khidmatnya untuk Sukan SEA," jelasnya selepas aksi Piala Agong menemukan Terengganu dan Kelantan, semalam.