Biarpun skuad ragbi 7s negara bakal beraksi dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik peringkat Asia dua minggu sebelum ke Sukan SEA Manila, pengendali negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor, tidak melihatnya sebagai satu beban sebaliknya ia adalah pentas persiapan terbaik pasukannya sebelum ke Filipina.

Saizul tidak akan menaruhkan kesemua barisan terbaik dalam saingan yang akan berlangsung di Incheon, Korea November ini apabila temasya dwitahunan itu menjadi fokus utama buat mereka mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Skuad 7s itu menampilkan tujuh muka baru sebagai langkah mencapai sasaran mengekalkan kejuaraan selepas kehilangan beberapa pemain yang beraksi di Kuala Lumpur.

"Kami berharap pemain-pemain yang dipilih dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan serta menampilkan komitmen yang tinggi dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu," kata Saizul.

Sementara itu, pasukan wanita yang sebelum ini hanya meraih pingat gangsa dalam edisi ke-29 meletakkan sasaran untuk mara ke final kali ini.

Penolong jurulatih skuad wanita, Muhammad Faiz Samsukhidir, menyifatkan Filipina, Thailand dan Singapura sebagai halangan utama buat barisan negara mencapai sasaran tersebut.

"Bagi Sukan SEA, kami dapat mengekalkan momentum ketika beraksi dalam kejohanan terdahulu dan mahu melangkah ke final di Manila nanti," kata Faiz.