Malaysia mencatat sejarah apabila mengutip dua pingat gangsa ping pong acara beregu lelaki dalam Sukan SEA Filipina, hari ini.

Dua pingat itu diperoleh melalui kedua-dua pasangan beregu yang layak ke separuh akhir selepas melakukan kejutan ketika peringkat suku akhir, semalam.

Pasangan Choong Javen-Amos Ling Yi Heng mengejutkan pilihan utama dari Singapura, Clarence Chew-Ethan Poh, 3-2 sambil Muhammad Ashraf Haiqal-Wong Qi Shen mengatasi pilihan kedua, Padasak Tanviriyavechakul-Supanut Wisutmaythangkoon dari Thailand 3-2.

Namun, mereka gagal mengulangi persembahan bertenaga itu dalam perlawanan separuh akhir apabila tumpas kepada lawan masing-masing.

Javen dan Amos tewas di tangan pasangan pilihan ketiga dari Vietnam, Doan Ba Tuan Anh-Nguyen Anh Tu, 1-3.

Gandingan Muhammad Ashraf-Qi Shen kecundang di tangan pasangan Singapura yang turun selaku pilihan keempat, Chua Josh Shao Han/Pang Yew En Koen, 2-3.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah sukan ping pong negara menyaksikan dua pasangan Malaysia layak ke separuh akhir sekali gus meraih gangsa dalam temasya dwitahunan itu.

Pencapaian itu juga mengatasi sasaran gangsa oleh Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

"Walaupun bukan pasangan pilihan, mereka mempamer persembahan bersemangat dan menarik.

"Malah Muhammad Ashraf dan Qi Shen berjaya memenangi set terakhir 11-9 ke atas pasangan Singapura itu.

"TTAM berbangga dengan pencapaian ini. Ia petanda baik kepada masa depan sukan ping pong negara kerana Amos, Javen and Qi Shen berusia bawah 20 tahun," kata Naib Presiden TTAM, Dr. Chin Kuen Liang, melalui kenyataan akhbarnya, sebentar tadi.