Ping pong: Aksi di Eropah matangkan Ashraf Haikal

Oleh Staff Writer 21 November 2019 58
Ping pong: Aksi di Eropah matangkan Ashraf Haikal
Tonggak ping pong lelaki negara, Muhammad Ashraf Haikal Muhammad Rizal, akan menjadikan pengalaman beraksi di Eropah sebagai sandaran untuk memastikan kecemerlangan dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Hanya pingat gangsa acara berpasukan lelaki menjadi pulangannya dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Kegagalan itu memaksanya untuk berkelana ke Eropah sejak dua tahun lalu dengan tugasan terakhirnya adalah memperkuatkan sebuah kelab yang berpangkalan di Amsterdam, Belanda.

Ketika ini, dia sedang bersama kontinjen negara dalam kem persiapan terakhir menjelang temasya dwitahunan itu.

"Saya baru balik semalam (kelmarin), saya banyak belajar di sana. 

"Liga di sana bagus dan saya berharap dalam Sukan SEA kali ini, saya dapat beraksi dengan baik dan bawa pulang pingat," katanya dalam majlis Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA di Bangi, semalam. 

Khidmat atlet berusia 25 tahun dari Segamat itu masih ditagih kelab TTV Hilversum bagi kempen Liga Belanda 2020.

Bagaimanapun, pengembaraannya untuk mengumpul pengalaman di Eropah masih bergantung kepada beberapa faktor.

"Kelab saya berada di kedudukan kedua teratas dan akan menghadapi aksi separuh akhir Februari depan. 

"Tetapi saya perlu berbincang dengan persatuan dan keluarga terlebih dahulu sama ada mahu kekal atau tidak," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen