Malaysia boleh berbangga apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menggunakan kepakaran individu negara untuk membina venue serta memasang peralatan temasya dwitahunan itu yang akan bermula penghujung bulan depan.

Stadium Olahraga New Clark City menggunakan trek jenis Rekortan M - Polytan yang dipasang rakyat Malaysia.

Kerja-kerja pemasangan siap bulan lalu, sekali gus memberi peluang kepada atlet Filipina menyesuaikan diri lebih awal.

"Krew yang berusaha untuk menyiapkan trek balapan bagi saingan Sukan SEA merupakan pakar dari Malaysia," kata Pengurus Besar Asia Sport Group, Shaun Goudie.

Olahraga akan menawarkan 47 pingat emas -- jumlah terbanyak dalam temasya dwitahunan edisi ke-30 itu.

"Saya percaya setiap pesaing akan berusaha melakukan yang terbaik ketika beraksi di balapan baru ini bagi saingan Sukan SEA," kata pelari 110 meter berpagar Filipina, Clinton Kingsley.

"Saya sangat selesa melakukan larian di atas permukaan yang baru disiapkan ini dan yakin membantu meningkatkan mutu persembahan saya nanti," kata pelari kuartet 100m Filipina, Yuhei Go.

Turut mencuri tumpuan, Pusat Akuatik New Clark City yang dibina syarikat dari Malaysia. Venue tersebut telah siap dibina Ogos lalu dan mampu memuatkan 2,000 penonton.