Persiapan kontinjen Sukan SEA negara kini sudah sampai ke peringkat akhir, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengenal pasti hampir 800 atlet untuk Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

"Tarikh akhir senarai akhir atlet mengikut nama ialah pada 2 September depan untuk persatuan memuktamadkan atlet yang mana layak untuk didaftarkan dalam acara mereka masing-masing.

"Selepas itu, pihak MOM akan menghantar pendaftaran kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA... itu adalah komposisi akhir kontinjen Sukan SEA Malaysia.

"Seterusnya di peringkat MSN, daripada segi persiapan kontinjen, kita akan adakan satu latihan pusat akhir untuk mengumpulkan kesemua 800 atlet kontinjen negara sebelum kami berlepas ke Filipina," katanya di Seremban, hari ini.

Beliau ditemui dalam Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB Siri Ke-5.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata daripada segi persiapan, semuanya berjalan lancar dan kini ia lebih banyak tertumpu kepada pertandingan-pertandingan sebelum Sukan SEA berlangsung.

"Ini adalah persiapan terakhir sebelum kami perbaiki balik ke arah Sukan SEA," katanya.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam majlis penyerahan bendera nanti.

"Itu pun selepas kami kemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk memuktamadkan daripada segi status sesama prestasi atlet dan sasaran yang mungkin mereka boleh capai dalam Sukan SEA nanti," katanya.

-- BERNAMA