Chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, meluahkan kebimbangannya mengenai persiapan sistem pemarkahan dan masa yang belum dimuktamadkan oleh tuan rumah, 11 hari sebelum pembukaan temasya dwitahunan itu secara rasmi.

Megat Zulkarnain masih menunggu beberapa keputusan daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) berkenaan masalah yang membelenggu tuan rumah seperti sistem pemarkahan dan masa selain venue acara menembak.

Pada saat-saat akhir sebelum berlepas ke Filipina, hanya masalah yang membabitkan tuan rumah menjadi kebimbangannya selain menganggap skuad negara kini dalam keadaan sudah bersedia dan bebas daripada kecederaan.

"Saya selalu bertanyakan kepada PHISGOC tentang sejauh manakah kerja-kerja sistem pemarkahan dan masa, mereka mengatakan ia sedang giat dilakukan dan kami berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya dalam Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA Filipina di Bangi, hari ini.

Beliau turut melabel program seperti itu dapat membantu menyuntik semangat kontinjen negara untuk berjuang dalam temasya edisi ke-30 berkenaan yang menyaksikan skuad polo akan menjadi kontinjen pertama yang akan berlepas esok.

"Atlet-atlet perlu faham bahawa mereka berpeluang untuk mewakli rakyat Malaysia yang terdiri daripada 32 juta orang

"Mungkin suntikan semangat dalam fasa terakhir ini boleh membantu kerana tidak banyak lagi yang boleh dilakukan jurulatih."

Sementara itu, atlet negara menyambut baik program perhimpunan akhir seperti itu.

Antaranya pemain boling tenpin wanita negara, Shalin Zulkifli: "Saya sukakan kem motivasi seperti ini. Kadang-kadang setelah penat berlatih, inilah masanya untuk kami merehatkan minda dan mengalihkan fokus.

"Kami diberi peringatan mengenai apakah matlamat sebenar kami dalam Sukan SEA."

Pemain ping pong lelaki negara, Muhammad Ashraf Haikal, pula melabel peluang mengenali atlet dalam sukan lain dapat membantu menyemarakkan sokongan antara mereka.

"Ini satu langkah yang bagus dan sangat membantu kami. Ia boleh mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan atlet.

"Ia juga peluang buat atlet untuk saling mengenali," katanya.

Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong, pula berpendapat: "Program ini bagus untuk kami saling mengenali dan memberikan sokongan."