Sukan SEA Filipina, November depan bakal menjadi penampilan terakhir pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, selepas menyumbang dua pingat emas dalam empat penampilan lalu.

Ia satu keputusan besar buat atlet pertama yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menjelang temasya dwitahunan itu di Teluk Subic kelak.

Ini kerana walaupun baru berusia 26 tahun, dia berhasrat untuk memberi laluan kepada pelayar pelapis untuk mengibarkan cabaran negara di pentas itu kelak.

"Sudah banyak kali saya menyertai Sukan SEA, jadi mungkin saya akan berbincang dengan jurulatih, Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada untuk saya teruskan atau tidak (bersaing).

"Bagi saya, lebih baik ia diserahkan kepada atlet lebih muda sebagai persediaan untuk mereka menjejakkan kaki ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik pada masa akan datang.

"Ia sangat bermakna kalau mereka menang," katanya di Palace Golden Horses, Seri Kembangan, semalam.