Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mencipta kontroversi apabila membatalkan penyertaan atlet acara kanu dan perahu naga negara ke Sukan SEA Filipina, November depan dan hanya mendaftarkan seorang atlet kayak ke temasya itu.

Surat Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) yang ditandatangani Megat Shahriman selaku presiden badan itu kepada MOM semalam memaklumkan hanya seorang atlet acara kayak akan dihantar ke Filipina.

Ia mengundang kontroversi kerana Jawatankuasa Pemilihan MOM sudah meluluskan pendaftaran atlet kanu dan kayak seramai 91 orang.

Perkara itu disahkan MOM dan satu surat sudah dihantar kepada MASCA untuk mendapatkan kepastian.

"Buat masa ini, kami perlu bawa kemas kini terbaru ini kepada Jawatankuasa Pemilihan dan tunggu perbincangan daripada mereka bagi mendapatkan keputusan baru," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Apa yang mengejutkan, tindakan itu tidak mendapat kelulusan Jawatankuasa Eksekutif MASCA kerana atlet sudah berlatih sejak tahun lalu sebelum mereka terpilih menerusi proses pemilihan.

"Ia tidak dibincangkan dengan exco lain serta tidak bercakap tentang pasukan yang bertanding. Mungkin ada isu yang dia sahaja yang tahu," ujar Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong.