Pelayaran: Nur Shazrin mahu lunas misi peribadi 

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2019 36
Pelayaran: Nur Shazrin mahu lunas misi peribadi 
"Kalau boleh berjaya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, tiada sebab untuk gagal dalam Sukan SEA Filipina."

Itu azam dan semangat atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif, sebagai azimat dalam temasya dwitahunan itu bulan depan. 

Bagaimanapun, keghairahan Singapura dan Thailand untuk memburu baki slot ke Sukan Olimpik menjadi kebimbangan buat skuad negara yang menyasarkan kejayaan di Filipina.

Pelayar burusia 21 tahun itu mempunyai misi tersendiri untuk membalas dendam terhadap wakil Thailand, Bam Kamolwan Chanyim, yang pernah menewaskannya dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016.

"Persiapan untuk menghadapi Sukan SEA kali ini bermula lebih awal kerana merangkumi Sukan Olimpik. 

"Setakat ini, semuanya berjalan lancar tetapi saingan agak sengit kerana kami akan menghadapi pelayar bertaraf Sukan Olimpik dari Thailand. 

"Kali ini saya mahu membalas dendam kerana pernah kalah satu mata dengan dia, jadi saya sasar pungutan mata yang lebih tinggi.

"Saya harap dapat bawa pulang emas kerana ia menjadi salah satu sasaran saya bagi menghadapi Sukan Olimpik tahun depan memandangkan saya akan berjumpa dengan pencabar yang sama," katanya. 

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah, mengintai peluang untuk anak buahnya mengekalkan status juara keseluruhan dengan meraih sasaran empat pingat emas daripada 12 acara yang dipertandingkan.

Sebagai persiapan akhir, skuad negara akan menjalani latihan selama tiga minggu bermula hari ini di lokasi yang akan menjadi medan pemburuan pingat emas, Subic.

"Kami belum pernah menyertai mana-mana kejohanan di Teluk Subic. 

"Bagaimanapun, daripada pengamatan kami, suasananya agak sama dengan di Malaysia. Jadi untuk mendapatkan situasi yang lebih tepat, kami merancang untuk mengadakan latihan di sana," kata Afendy. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen