Pelayaran: Cuaca berubah-ubah jadi cabaran 

Oleh Staff Writer 11 November 2019 51
Pelayaran: Cuaca berubah-ubah jadi cabaran 
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy, melahirkan kegusaran kurang tiga minggu menjelang Sukan SEA Filipina selepas pulang daripada venue pertandingan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Khairulnizam bersama skuad pelayaran negara telah berkampung di Teluk Subic hampir sebulan.

Bagi pelayar berusia 26 tahun itu, temasya dwitahunan kali ini membawa cabaran berbeza kerana pemilihan venue yang melibatkan kawasan teluk dan bukannya laut dalam. 

"Keadaan angin berubah-berubah dan ia menyebabkan peredaran angin berat sebelah yang boleh menyebabkan kedudukan yang tidak adil bagi atlet. 

"Wujud kemungkinan pegawai perlumbaan akan membatalkan perlumbaan," katanya di UiTM Sungai Buloh, hari ini. 

Biarpun berstatus Olimpian, atlet kelahiran Kedah tersebut tidak mengambil mudah cabaran Sukan SEA dengan menganggap skuad kebangsaan yang dihantar kali ini mempunyai peluang cerah meraih pingat.

"Semua pasukan telah menjalani persiapan yang baik, bukan kami sahaja.

"Kami sudah bersedia dan akan cuba mendapatkan keputusan yang terbaik buat negara," tambahnya. 

Untuk rekod, penampilannya di laman sendiri dua tahun lalu melahirkan kekecewaan apabila dia terpaksa akur untuk menamatkan saingan di tempat ketiga ekoran kecederaan lutut (meniscus) yang dialami. 

Khairulnizam yang telah pun layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan sering cemerlang dalam temasya Sukan SEA apabila sudah meraih dua pingat emas, iaitu dalam edisi 2013 dan 2015, serta satu pingat perak dan gangsa dalam temasya dua tahun lalu. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen