"Pingat kejutan."

Ketua jurulatih skuad olahraga Malaysia, Mohd Manshahar Abd Jalil, optimis mampu meraih pingat kejutan dalam Sukan SEA Filipina, November depan walaupun atlet terbabit berada dalam kategori B.

Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan sasaran lima pingat emas akan digalas skuad olahraga negara dalam temasya dwitahunan itu.

"Selain pingat-pingat emas yang dijangka dimenangi, mungkin ada 2-3 emas lagi boleh menyusul.

"Antaranya dalam acara 800m lelaki, mungkin juga melalui 4x400m lelaki kerana ia dibarisi atlet muda yang berpengalaman di peringkat antarabangsa (seperti Ruslem Zikry Putra)," katanya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia MOM, Kuala Lumpur, hari ini.

Malah, beliau yang dilantik sejak Julai lalu, menuntut atlet kategori B yang lain turut menjadi pencabar dalam acara masing-masing kerana perbezaan catatan masa dan ranking semasa bukan ukuran sebenar dalam persaingan itu kelak.

"Saya yakin dan percaya atlet kategori B berpotensi memenangi pingat tanpa mengira warna.

"Ini kerana kami meletakkan pelari acara berganti-ganti (4x100m). Kami jangkakan mereka boleh bersaing dengan baik.

"Ada antara atlet itu terdiri daripada mereka yang pernah memenangi pingat dalam edisi lalu.

"Ketika ini, kuartet di kedudukan keempat ASEAN tetapi jurang kami dengan pesaing yang lain tidak jauh," tambahnya.

Skuad 4x100m lelaki mempertaruhkan Muhammad Zulfiqar Ismail, Mohd Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Nixson Kennedy
.
Dalam edisi lalu, skuad olahraga negara memperbaharui rekod pungutan pingat berbanding edisi 2015 dengan meraih lapan pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa.