Percubaan atlet lompat bergalah, Iskandar Alwi, untuk memecah rekod kebangsaan sambil melayakkan diri secara merit ke Sukan SEA Filipina 2019 November depan gagal apabila percubaannya melepasi ketinggian 5.32 meter tidak berhasil.

Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia 2019 merupakan peluang terakhir bagi atlet olahraga melayakkan diri secara merit ke temasya dwitahunan itu.

Antaranya, Iskandar yang harus mencatat sekurang-kurangnya 5.30m bagi layak secara merit ke temasya edisi ke-30 itu.

Dia dengan mudah mengatasi ketinggian 5.00 meter serta 5.15 meter dalam percubaan awal untuk membantu meningkatkan keyakinannya.

Namun, ia belum mencukupi selepas atlet yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan gagal dalam ketiga-tiga percubaan dalam lompatan 5.32m.

"Tahun ini saya tidak banyak menyertai kejohanan, jadi saya tidak boleh mengagak di manakah akan mencapai kemuncak prestasi.

"Ditambah pula dengan isu ketika Kejohanan Sukan Universiti Dunia ke-30 (Universiade) di Napoli, jadi perkara seperti ini agak mengganggu," katanya.

Kini Iskandar menyerahkan nasibnya kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menentukan jika dia masih layak untuk beraksi dalam Sukan SEA 2019.

"Saya serahkan kepada ketua jurulatih, Manshahar Abd Jalil, untuk menyenaraikan saya atau tidak," tambahnya.