Pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib, perlu memanfaatkan ketiadaan jaguh Asia Tenggara dari Indonesia, Lalu Mohamad Zohri Lalu Ahmad Yani, untuk menjuarai acara 200m Sukan SEA Filipina.

Dia layak ke final selepas mencatat 21.40 saat ketika meraih tempat kedua pusingan saringan kedua di Stadium Olahraga New Clark City hari ini.

Russel bermula baik sebelum mempamerkan larian bersahaja pada 30 meter terakhir untuk ke final.

Tanpa Lalu Mohamad Zohri dan juara bertahan dari Filipina, Anthony Beram, saringan itu dimenangi pelari Thailand, Chayut Kongprasit, yang mencatatkan 21.08 saat.

"Ia perlumbaan yang sukar kerana ia merupakan perlumbaan pembukaan buat saya.

"Saya sudah membiasakan diri dan sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam final," katanya.

Russel akan diiringi seorang lagi pelari negara, Jonathan Nyepa, yang meraih tangga ketiga saringan pertama dengan masa 21.68 saat.

"Setiap tahun, semua (pelari) akan berlatih untuk buat yang terbaik.

"Jadi, kita tidak tahu siapa yang akan menang.

"Saya tidak memikirkan mengenai catatan masa kerana mahu fokus kepada final," katanya.

Dalam saingan wanita, hanya S. Komalam Shally layak ke final selepas meraih tangga keempat saringan kedua dengan catatan 24.82 saat.

Catatan itu menyaksikan dia menghuni ranking terakhir dalam kalangan lapan finalis.