Jaguh 110m berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, terpaksa akur dengan pingat perak apabila gagal mempertahankan pingat emas dalam saingan Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City sebentar tadi.

Rayzam Shah turun selaku pilihan utama dalam misi mempertahankan pingat emas yang diraih di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Seperti yang dijangka, atlet kelahiran Sabah itu telah diberikan tentangan sengit oleh pelari tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista.

Ia merupakan perlumbaan yang sengit sejak setiap pelari meninggalkan blok pelepasan sehingga ke garisan penamat, dengan kedua-dua Rayzam Shah dan Clinton melakukan catatan 13.97 saat, namun photo finish mengesahkan pingat emas milik atlet tuan rumah itu.

"Setakat ini, saya menikmati saingan Sukan SEA kali ini. Biasalah adat permainan, ada kalah dan menang dan kelebihan memihak wakil tuan rumah," kata Rayzam Shah.

"Saya hanya dipisahkan menerusi photo finish, saya masih lagi menantikan keputusan pegawai kejohanan bagi memberikan penjelasan di atas kemenangan yang diraih oleh Clinton."

Bagi saingan wanita, Raja Nursheena Raja Azhar, gagal mempertahankan pingat perak yang diraih dua tahun lalu apabila menamatkan saingan di tempat terakhir dengan catatan 14.31s.