Atlet lompat jauh para negara, Mohd Saifuddin Ishak, berputih mata apabila peluang untuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 tertutup rapat gara-gara dijangkiti virus beguk.

Dia sepatutnya berlepas ke Perancis semalam bersama-sama kontinjen para negara untuk menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Olahraga Paris 2019 yang menawarkan slot terakhir buat mana-mana atlet untuk layak ke Kejohanan Dunia di Dubai, November depan.

Atlet para kategori T11/T12 itu sebelum ini mengidam untuk membuat penampilan kali ketiga kejohanan selepas beraksi di Doha pada 2015, seterusnya di London, dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, mimpi ngeri buatnya yang dijangkiti virus paramyxovirus sejak minggu lalu yang menyebabkan pipi kirinya bengkak sehingga terpaksa berehat selama lapan hari.

"Mungkin ada hikmahnya saya dijangkiti beguk sementara proses pemulihan pula mengambil masa seminggu yang menyebabkan saya menghadapi kesukaran dalam soal pemakanan," katanya.

Fokus pemenang perak Sukan SEA 2017 itu kini adalah persiapan untuk menghadapi Sukan Para ASEAN Filipina, Januari depan.

"Saya tidaklah kecewa, mungkin ini yang terbaik buat saya tetapi dalam masa sama, saya akan cuba mengatasi catatan 6.50 meter.

"Sesi latihan ketika ini berjalan lancar tetapi saya belum boleh kembali menyertai sebarang kejohanan," katanya lagi.