"Saya mahu slot kedua 100 meter Sukan SEA."

Itu nada harapan yang dilontarkan Muhammad Zulfiqar Ismail menjelang Sukan SEA Flipina 2019, November depan.

Pelari pecut kelahiran Terengganu itu mencatat masa terbaik musim ini, 10.41 saat, dalam Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, Mac lalu untuk menempatkan diri di ranking kelima Asia Tenggara ketika ini untuk mengatasi Khairul Hafiz Jantan yang berada di ranking ke-10.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka akan memutuskan siapa pelari kedua yang akan membawa cabaran dalam acara reben biru itu.

Sehubungan itu, Zulfiqar berharap kesatuan itu membuat keputusan berlandaskan pencapaiannya berbanding Khairul Hafiz secara merit.

"Berdasarkan catatan terpantas musim ini, saya berada di kedudukan kedua terpantas (skuad negara) dan rasa memang akan pergi dan perlu pergi.

"Kalau diberi (slot itu), saya akan buat yang terbaik tetapi kalau KOM berikannya kepada Khairul Hafiz, saya harap dia boleh balas kepercayaan itu.

"Kalau keputusannya begitu, maka saya akan fokus kepada acara 4x100m," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, pula berasakan catatan masa hambar pemenang emas Sukan SEA 2017 itu dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia 2019, Jumaat lalu, tidak boleh dijadikan ukuran memandangkan atlet kelahiran Melaka berkenaan masih dalam proses mendapatkan rentak selepas pulih daripada kecederaan betis.

"Ketika dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) Napoli 2019, dia melakukan larian 10.70s dan apabila beraksi Jumaat lalu, dia mampu melakar 10.50s.

"Oleh itu, kami nampak tahap persembahannya tidak lari jauh.

"Semangatnya sangat tinggi dan jika diberi tempoh tiga bulan ini, dia boleh mencapai prestasi yang dikehendaki KOM," jelas jurulatih itu.