Olahraga: Kejayaan ke Tokyo 2020 jadi azimat Ziyad

Oleh Staff Writer 19 November 2019 117
Olahraga: Kejayaan ke Tokyo 2020 jadi azimat Ziyad
Kejayaan melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menjadi azimat terbaik buat jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, untuk membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA hujung bulan ini.

Ziyad menamatkan penantian 11 bulan untuk mengesahkan tempat ke Tokyo selepas meraih kedudukan podium dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini.

Dia menyempurnakan enam lontaran dengan catatan sejauh 17.03 meter untuk catatan terbaiknya tahun ini walaupun gagal meraih pingat emas dalam kejohanan berkenaan.

Apa yang menarik, ia hadir kurang sebulan sebelum Sukan SEA, sekali gus menjadi motivasi tambahan kepada juara para dunia dua kali itu untuk beraksi cemerlang di Filipina.

Untuk rekod, atlet berusia 29 tahun itu muncul satu-satunya wakil para negara yang layak ke temasya berkenaan secara merit.

"Sekarang saya sedang berusaha untuk ke arah itu dan apabila sampai masa saingan, saya akan cuba yang terbaik bagi mendapatkan kilauan pingat. Insya-Allah saya akan cuba tukarkan gangsa kepada perak atau emas. Kalau diizinkan, tiada apa yang mustahil," katanya.

Ini bukan kali pertama Ziyad menyertai temasya dwitahunan itu selepas meraih gangsa di Kuala Lumpur dua tahun lalu, sekali gus menjadikan penampilan keduanya ini lebih bermakna.

Namun, pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2014 dan Jakarta 2018 itu dijangka menerima cabaran hebat daripada juara bertahan, Promrob Juntima, dari Thailand, yang memburu gelaran hatrik.
 
Dia kini dalam misi memecah rekod kebangsaan milik Adi Alifuddin dengan catatan 17.54m tatkala catatan peribadi terbaiknya ialah 17.29m yang dilakukan ketika muncul juara dunia para di London, tiga tahun lalu.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen