Kelibat pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu yang juga merupakan Olimpian 2016 menjadi cabaran hebat buat atlet lempar cakera wanita negara, Choo Kang Ni, untuk merebut status juara daripadanya di Filipina nanti.

Bagi Kang Ni, kekuatan wakil Thailand, Subenrat Insaeng, hanya berdasarkan di atas kertas dan tidak mustahil jika dia mampu untuk menewaskannya di Filipina kelak.

Atlet berusia 25 tahun itu bertekad memperbaharui catatan peribadinya yang merupakan rekod kebangsaan, 47.91 meter, yang dilakarnya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Tekniknya lebih sempurna daripada kami. Kekuatan dan fizikal mereka juga lebih baik.

"Di bawah bimbingan jurulatih baru, sebenarnya banyak teknik lagi yang perlu dipelajari atlet Malaysia," katanya di Bukit Jalil, hari ini.

Seorang lagi atlet lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni, enggan terlepas peluang untuk menyumbang pingat di Manila selepas terpinggir dalam temasya dwitahunan itu, dua tahun lalu.

Bagi atlet berusia 22 tahun itu, ini merupakan misi wajibnya untuk meraih pingat apabila hanya disenaraikan di bawah kategori B.

"Saya menyasarkan untuk memungut medal selain cuba mengatasi catatan peribadi.

"Saya mahu melakukan lontaran sejauh 48m kerana dalam latihan, saya mampu melakukan sejauh 47m tetapi dalam kejohanan sebenar, lain ceritanya," katanya.