Peluang keemasan buat pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, untuk memastikan gelaran lelaki terpantas Asia Tenggara kekal menjadi milik Malaysia apabila jaguh indonesia, Lalu Muhammad Zohri Lalu Ahmad Yani, menarik diri daripada Sukan SEA Filipina, November depan.

Ketiadaan jaguh pecut dari Indonesia itu ekoran mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Olahraga Dunia 2019, menjadikan perebutan pingat emas 100m kini terbuka.

"Bagi saya peluang itu memang ada, tidak kira siapa yang menyertainya, terpantas dan memiliki catatan peribadi terbaik.

"(Semuanya) bergantung pada hari pertandingan," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Justeru, persaingan di antara dia dan Jirapong Meenapra menjadi sengit, dengan atlet dari Thailand itu mempunyai kepantasan 10.34s, yang dilakukannya dalam Kejohanan Asia, April lalu, untuk berada di kedudukan ketiga ASEAN.

Jonathan Nyepa kini menghuni ranking kedua Asia Tenggara berbekalkan catatan terbaik musim ini, 10.37 saat.

Dia melakukan catatan terbaiknya itu dalam Grand Prix (GP) Motonet Joensuu, Finland, Julai lalu.

"Saya kini di kedudukan kedua berdasarkan catatan terbaik tahun ini.

"Tetapi itu hanya catatan di atas kertas.

"Kita tengoklah bagaimana persiapan saya untuk menghadapi Sukan SEA kelak," katanya lagi.