Jackie Wong terpaksa merangka pelan B selepas acara baling tukul besi tidak dipertandingkan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Tuaran, Sabah bermula Sabtu ini, dengan juara bertahan Sukan SEA itu akan berlepas ke Korea Selatan dalam masa terdekat.

Kebanyakan atlet olahraga kebangsaan akan beraksi dalam Terbuka Tuaran, antaranya pelari pecut, Muhammad Zulfiqar Ismail, Mohd Haiqal Hanafi, Siti Fatimah Mohamad dan jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang dijadual ke Sabah, Khamis ini.

Namun, acara baling tukul besi tidak dipertandingkan, sekali gus memaksa Jackie membuat perancangan untuk ke Korea Selatan.

"Sepatutnya kami mahu mencari kejohanan di China tetapi acara baling tukul tidak dipertandingkan. Jadi saya perlu ke Korea Selatan untuk menghadapi dua saingan di sana," kata Jackie.

Kali terakhir atlet berusia 27 tahun itu beraksi di Korea dalam Kejohanan Jemputan Mokpo, Jun lalu menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan 67.31 meter sebelum memperbaharui catatan itu dalam Kejohanan Tertutup Malaysia (68.22m).

"Saya tidak berancang untuk memecahkan rekod di sana, tetapi memastikan tahap kecergasan dalam tahap terbaik sebelum menghadapi Sukan SEA hujung tahun ini."