Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, menamatkan kemarau lapan tahun untuk merampas semula pingat emas Sukan SEA Ke-30 selepas melakukan catatan 2.21 meter bagi meneruskan dominasi Malaysia dalam acara itu sejak 12 tahun lalu.

Hup Wei menutup musim cemerlang dengan emas Sukan SEA Filipina.

Dia yang mencipta sejarah selaku atlet olahraga pertama negara layak ke final Kejohanan Dunia, berkongsi catatan sama dengan rakan senegara, Nauraj Singh, namun memiliki kelebihan berdasarkan kiraan semula.

Kali terakhir dia meraih emas ialah dalam temasya Indonesia 2011.

"Saya dan Nauraj berjaya mempertahankan pingat emas dan perak dalam saingan Sukan SEA. Sasaran seterusnya adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Sekarang saya mahu berehat dahulu kerana sudah penat," kata Hup Wei.

Gangsa menjadi milik atlet Thailand.

Sementara itu, Muhammad Ziyad Zolkefli, terus mencipta sejarah apabila muncul atlet para pertama meraih perak di pentas Sukan SEA.

Dia yang memperbaiki kejayaan meraih gangsa dua tahun lalu, melepasi jarak 17.03m -- hanya tewas kepada atlet naturalisasi tuan rumah, Morison William, yang melakukan 18.38m yang juga rekod baru temasya.

Ziyad wajar mendapat pujian kerana kekal fokus walaupun anaknya dimasukkan ke hospital.

"Insya-Allah anak saya akan sihat di atas kemenangan saya di Manila dan saya akan pulang selepas ini untuk bersama keluarga," kata Ziyad.