Atlet lompat kijang negara, Mohd Hakimi Ismail, optimis untuk memburu pingat emas hatrik di Manila bulan depan walaupun menolak untuk menyertai Kejohanan Ujian Olahraga Pra-Sukan SEA 2019 di Filipina.

Tuan rumah akan mengadakan kejohanan ujian pada 26 dan 27 Oktober ini yang bakal memberi peluang buat semua atlet Asia Tenggara untuk menguji Stadium Olahraga New Clark yang bakal menjadi salah satu venue utama Sukan SEA.

Beberapa atlet Malaysia akan menyertai kejohanan jemputan itu, namun Hakimi memilih untuk meneruskan latihan di ibu negara memandangkan perjalanan untuk ke Clark dari Manila akan memakan masa yang lama, sekali gus memberi kesan terhadap prestasinya untuk bertanding.

"Saya rasa perjalanannya agak jauh, kemudian banyak tekanan. Jadi, saya rasa lebih baik untuk membuat keputusan bertanding bulan depan, tidak perlu melalui perjalanan jauh. Saya juga boleh fokus kepada latihan," katanya.

Biarpun tanpa sebarang kejohanan kompetitif dalam tempoh sebulan sebelum temasya dwitahunan itu bermula, atlet kelahiran Perak itu tetap yakin dalam pemburuan emas ketiganya di pentas Sukan SEA kali ini.

Dia yang bakal melakukan penampilan kelima dalam temasya itu sejak edisi 2011 di Palembang mempunyai catatan peribadi terbaik 16.77 meter yang dilakarnya ketika di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Setakat ini, segalanya berjalan lancar dan tiada sebarang kecederaan. Keadaan badan juga berada dalam prestasi terbaik, namun perlu lebih fokus sambil mengharapkan tiada perkara buruk."