Atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, menerima khabar gembira menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini di sebalik rasa kecewa apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak mengiktiraf rekod kebangsaan 7.90 meter yang dilakukannya ekoran masalah teknikal.

Andre berpotensi mencipta kejutan meraih pingat Sukan SEA apabila menghuni ranking ketiga Asia Tenggara walaupun atlet kelahiran Sabah itu bakal membuat penampilan sulungnya dalam temasya berkenaan.

Ia sedikit-sebanyak mengubati kekecewaannya apabila catatan 7.90m ketika meraih emas dalam Terbuka Berwang, Sabah, minggu lalu tidak diiktiraf rekod kebangsaan disebabkan masalah teknikal.

KOM tidak mengiktiraf rekod itu kerana penganjur tidak mengemukakan laporan mengenai aspek teknikal.

"Untuk meraih emas, masih belum boleh kerana 7.90m meletakkan saya di kedudukan ketiga. Tempat pertama milik wakil Vietnam, 7.98m, kemudian atlet Indonesia dengan 7.97m," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil, meminta penganjur mengikut piawaian teknikal Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) jika kejohanan mereka disertai atlet kebangsaan.

"Dalam masa akan datang, saya berpendapat semua pihak penganjur perlu mendapatkan pengesahan daripada IAAF terlebih dahulu," katanya.