Pemain bola jaring Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Nuraina Raziani, berharap dapat membuka mata pihak yang berkenaan untuk mewakili negara dalam Sukan SEA Filipina bulan depan selepas membantu pasukannya menjuarai Kejohanan Bola Jaring Karnival Pelapis di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini.

Nuraina, 18, berada dalam kelompok 15 pemain yang berebutkan 12 slot terakhir untuk mewakili negara dalam temasya dwitahunan itu.

Aksinya dalam final mencuri tumpuan ramai apabila muncul penjaring terbanyak untuk SSBJ menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 51-26.

"Kami memiliki semangat yang kuat, setiap pemain berusaha dan tidak berputus asa. Bahagian pertahanan bekerja keras untuk memberikan bola kepada barisan depan. Masing-masing bekerja keras," katanya.

Baginya, ia merupakan penghargaan terbesar jika dia terpilih untuk mempertahankan pingat emas dalam temasya itu sebagai atlet termuda.

"Saya salah seorang daripada 15 pemain yang terpilih dalam skuad Sukan SEA kali ini, jadi saya mahu tunjukkan kepada jurulatih kemampuan yang dimiliki," tambahnya.

"Saya ingin meraih pengalaman di sana dan mendapatkan tunjuk ajar daripada pasukan memandangkan saya paling muda, jadi saya akan belajar daripada pemain lebih senior."