Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, mahu senarai muktamad kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 hanya dibarisi sukan yang mampu membutirkan pingat di Filipina.

Senarai akhir sukan bakal diputuskan Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 28 November ini dengan kemungkinan beberapa sukan asing seperti hoki dalam air, vovinam dan sukan tarian turut tersenarai.

Namun, ekoran prestasi hambar beberapa sukan dalam Sukan Asia lalu, Norza kini mahu memastikan hanya prospek pingat diberi peluang ke Filipina tahun depan.

Beliau juga akan menuntut komitmen daripada pertemuan dengan persatuan sukan terpilih setelah senarai akhir dimuktamadkan nanti.

"Kami tidak mahu dalam Sukan Asia di mana kami memiliki sukan kategori B apabila persatuan sukan menjanjikan prestasi yang baik tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sebab itu kami mengambil langkah yang lebih baik bagi Sukan SEA 2019," katanya.