Atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin, bagaikan "sudah jatuh ditimpa tangga" apabila bukan sahaja akan beraksi dalam Sukan SEA di Filipina hujung bulan ini tanpa jurulatih tetap, malah turut mengalami kecederaan tumit kanan.

Penampilan pertamanya dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu cukup cemerlang apabila menamatkan saingan di tempat keempat dan memecahkan rekod kebangsaan milik Datuk Zaiton Othman dengan pungutan 5,274 mata.

Namun, cabaran berbeza menanti atlet berusia 28 tahun itu dalam edisi kali ini selepas ditimpa kecederaan tumit kanan selain tidak memiliki jurulatih peribadi.

Dengan inisiatif sendiri, dia mendapatkan bantuan bekas atlet dekatlon negara, Malik Tobias, untuk merencanakan program latihannya sejak awal tahun ini.

"Ia biasa, ia hanya tekanan menjelang kejohanan.

"Jadi, saya hanya fokus terhadap latihan seperti biasa dan melakukan proses pemulihan yang betul.

"Saya turut menjaga latihan dengan melebihkan terhadap apa yang saya lemah," katanya.

Dalam pada itu, Malik menekankan keperluan untuk Norliyana memiliki jurulatih peribadi seandainya mahu meningkatkan prestasi.

"Sudah pasti kami mengharapkan sesuatu yang positif di Manila.

"Dia mendapat tempat keempat dalam edisi sebelum ini, jadi saya harap dia dapat memecahkan rekod kebangsaan dan membawa pulang satu pingat," katanya.