Duit tambang teksi berjumlah RM600 dari Manila ke Subic memberi pulangan lumayan buat Masdor Manan apabila anaknya yang juga atlet muay thai negara, Rifdean Masdor, merangkul pingat emas kategori 45 kilogram menerusi kemenangan TKO hari ini.

Masdor yang teruja untuk menyaksikan penampilan sulung anaknya di pentas Sukan SEA sanggup mengeluarkan wang belanja sendiri sebanyak itu hanya untuk menawarkan kejutan sokongan buat Rifdean.

Ternyata langkah itu berbaloi apabila atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu menewaskan wakil Laos, Soulixay Singsavath, menerusi TKO selepas mendahului 10-9 dalam pusingan pertama sehingga lawannya itu terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Saya sangat bersyukur dengan pingat emas yang diraih. Pukulan siku yang memastikan kemenangan itu telah saya usahakan dalam sesi latihan dan ia berhasil buat saya dalam perlawanan ini," kata Rifdean.

"Kehadiran bapa saya sedikit sebanyak melonjakkan semangat saya untuk meraih kemenangan dalam Sukan SEA kali ini."

"Alhamdullilah di atas kemenangan pingat emas yang diraih oleh Rifdean. Walaupun telah berbelanja besar demi menyaksikan perlawanan ini, ia sungguh berbaloi," tambah Masdor.