Jaguh muay negara, Ali Yaakub, gagal mempertahankan pingat emas Sukan SEA Filipina apabila terkandas dalam suku akhir di Subic hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Riedzwan Norsyahmi Daud, meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Ali sudah mula beralih ke bidang kejurulatihan selepas merangkul pingat emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Tanpa sebarang perancangan untuk mewakili negara dalam edisi kali ini, dia bagaimanapun mendapat panggilan pada saat-saat akhir selepas sandaran pingat emas, Fazzatkie Zaki, ditimpa kemalangan.

Dengan persiapan dalam tempoh singkat, Ali ternyata sukar untuk memberikan aksi terbaiknya dalam acara 57 kilogram sebelum tewas kepada peserta Vietnam, Nguyen Doan Long, 28-29.

"Saya dah cuba buat yang terbaik tetapi ada setengah (juri) kata saya menang dan ada setengah kata saya kalah.

"Tidak mengapa, saya terima semuanya.

"Mungkin ini ujian dan bukan rezeki saya," katanya.

Riedzwan Norsyahmi ke pula ke separuh akhir acara 54 kilogram selepas menewaskan peserta Indonesia, Madlani, 20-17 untuk memastikan pingat gangsa dalam genggamannya.

"Ada satu, dua perkara yang perlu diperbaiki.

"Saya mahu raih mata yang lebih banyak.

"Saya perlu berehat sebentar sebelum kembali menyerang," katanya.