Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, menjelaskan pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berada dalam keadaan sedia bagi memastikan keselamatan kontinjen negara di Filipina.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina 2019 (PHISGOC) telah memberi pengesahan bahawa ancaman Taufan Kammuri dijangka akan melanda, sekali gus menyebabkan penundaan beberapa acara.
Antara acara yang terlibat adalah pelayaran, surfing dan beberapa sukan lain demi keselamatan setiap kontinjen.

"Keutamaan MSN dan pihak pengurusan kontinjen adalah keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam Sukan SEA.

"Selain itu, saya juga berkomunikasi dengan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Mohamad. Dia sentiasa memaklumkan saya keadaan di Filipina sekiranya ada sebarang perkembangan," katanya.

Dalam masa sama, Steven optimis penundaan jadual tidak akan menjejaskan persiapan dan momentum barisan atlet negara.

"Kami yakin segala perubahan ini tidak akan menjejaskan semangat atlet yang sudah berkobar-kobar mahu menampilkan aksi terbaik."