Persatuan Sambo Malaysia (MSA) terpaksa menggantung atlet negara, Meeraj Khan, kerana mengkritik Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun yakin peluang mereka untuk menghantar atlet ke Sukan SEA Filipina, November depan tidak terjejas.

MSA menggantung atlet itu bagi tempoh yang masih belum ditetapkan kerana mengkritik tindakan MOM, yang melewat-lewatkan keputusan penyertaan atlet sambo ke temasya itu.

Kritikan itu mengundang rasa kecewa Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang memutuskan status beberapa sukan seperti kurash, sambo dan jujitsu hanya akan diputuskan 26 September ini.

Bagaimanapun, MSA yakin mereka tetap berpeluang untuk menghantar atlet ke Filipina.

"Kami akan mengadakan mesyuarat lain untuk berbincang mengenai kenyataan meminta maaf secara terbuka ini.

"Mungkin kami akan cuba berbincang semula dengan MOM kerana Meeraj adalah seorang pencabar yang sangat bagus. Tanpa dia, mungkin Malaysia kekurangan satu pingat dan MSA akan mempersiapkan pasukan yang kuat," kata Ahli Exco MSA, Susan Cheah.

Persatuan itu masih belum menetapkan tempoh penggantungan Meeraj.

Nasib peninju profesional ini umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila terbabit dengan kemalangan, sehari selepas menerima hukuman penggantungan berkenaan.