MOM yakin kredibiliti PHISGOC

Oleh Bernama 19 November 2019 26
MOM yakin kredibiliti PHISGOC
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) akan menyelesaikan masalah venue serta sistem pemarkahan dan catatan masa yang masih belum disiapkan lagi menjelang temasya sukan dwitahunan itu membuka tirainya, 30 November ini. 

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, ketika dihubungi Bernama berkata dia percaya pihak PHISGOC akan lakukan yang terbaik bagi memastikan penganjuran Sukan SEA ke-30 itu berjalan lancar. 

"Perkara ini sudah dijangka. Kami kena maklum bahawa Filipina pertandingkan 56 sukan berbanding 38 ke 40 sukan sebelum ini. Sudah tentu kami boleh jangka isu ini akan timbul walaupun berbaki lebih kurang 10 hari sebelum temasya bermula. 

"Namun atas semangat ASEAN, kami (negara anggota) akan berbincang lanjut dengan tuan rumah mengenai perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang akan diadakan sebelum perasmian Sukan SEA. Kami akan cuba bantu," katanya. 

Sementara itu, Norza percaya pihak pengurusan kontinjen termasuk atlet dan pegawai ke Sukan SEA Filipina sudah bersedia dan bersemangat untuk memulakan aksi. 

Dia berkata walaupun kontinjen negara mungkin tidak dapat mengulang pencapaian jumlah kutipan pingat seperti aksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun beliau yakin 390 atlet yang pertama kali beraksi pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu akan bersungguh-sungguh mengharumkan nama negara. 

Untuk rekod, seramai 774 atlet akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan. 

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen