MOM terkejut dengan kenyataan Megat Shahriman

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2019 1768
MOM terkejut dengan kenyataan Megat Shahriman
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Mohd Najib, terkejut dengan kenyataan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, bahawa persatuan itu mungkin tidak akan menghantar atlet ke Sukan SEA Filipina, November depan sedangkan MOM sudah menerima senarai lengkap atlet acara kanu dan perahu naga.

Apa yang sedang berlaku dalam MASCA umpama ada seseorang cuba mensabotaj skuad kebangsaan.

Ia kerana MOM sudah menerima senarai lengkap atlet kanu dan perahu naga dan hanya menunggu kelulusan majikan untuk beberapa atlet kayak.

Prosedur itu sepatutnya perkara mudah untuk dilaksanakan kecuali ada pihak yang mahu merumitkan keadaan.

"Kanu dan perahu naga memang kami sudah dapat senarai (atlet) daripada persatuan.

"Mereka telah diterima untuk menyertai Sukan SEA.

"Daripada pihak MOM, kami lihat ia tiada masalah.

"Jadi, mereka akan menyertai Sukan SEA.

"Saya rasa mereka juga mahu menyertai Sukan SEA dan jika terdapat masalah persatuan, kami akan menghantar mereka di bawah MOM seperti petanque," katanya.

Setakat ini, seramai 682 atlet daripada 49 jenis sukan telah tersenarai ke Filipina.

MASCA diberikan tempoh hingga 1 September ini untuk menghantar senarai nama atlet kayak sebelum MOM melengkapkan senarai kontinjen negara kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) sehari kemudian.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen