Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, berpendapat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) patut merombak sistem atlet kategori B yang menjadi punca kepada isu penyertaan skuad kanu dan perahu naga untuk menyertai Sukan SEA Filipina, November depan.

Status atlet kedua-dua sukan itu kini seakan-akan tergantung.

Surat yang dihantar presiden berkenaan kepada MOM menyatakan hanya seorang atlet kayak akan dihantar ke Filipina, sekali gus mengundang panik semua individu yang terlibat.

Status atlet kanu dan perahu naga itu tergantung kerana Megat Shahriman mahu memastikan MASCA memiliki dana yang mencukupi untuk menghantar mereka ke Filipina.

"Sesiapa mahu tarik diri, hantar, saya tidak tahu, memang saya tidak tahu.

"Tetapi perbelanjaan adalah sangat penting kerana saya tidak mahu jadi macam polo kanu.

"Pengerusi polo kanu bersetuju dengan dana yang ada tetapi bila atlet pergi, duduk dalam khemah, tidur dalam khemah yang sejuk.

"Macam manapun, tanggungjawab tu ada, jadi saya perlu ambil tanggungjawab.

"Kenapa atlet saya tidur dalam khemah?

"Dah tahu tak cukup duit, kenapa pergi?" katanya.

Realitinya, barisan atlet kanu sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai temasya itu.

Peraturan MOM memperuntukkan perbelanjaan atlet kategori B perlu ditanggung persatuan dan jika mereka meraih pingat, perbelanjaan itu boleh dituntut semula daripada badan induk berkenaan.

"Kalau kategori B, kita mahu hantar datuk kita, nenek kita, suka hati kitalah.

"Jika kami gagal atau apa benda, ia masalah kami.

"Pada akhirnya, anda akan menilai kami kemudian.

"Namun, menjadi (atlet) simpanan bukan satu masalah.

"Jadi simpanan untuk mengangkat beg juga bukan satu masalah.

"Sebab bila kita nak jadi atlet ni, kita kena akur dengan siapa pengurus pasukan.

"Kita akur dengan persatuan. Kita tak bising.

"Sebab saya meletakkan diri saya sebagai atlet.

"Tetapi, macam saya cakaplah, ia tentang persatuan, hak kita," tambahnya lagi.