Semua persatuan sukan telah melunaskan 100 peratus perbelanjaan atlet Sukan SEA Ke-30 di Filipina, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berpuas hati dengan tindakan kesemua persatuan sukan yang menyelesaikan pembayaran mereka ke temasya dwitahunan itu seperti tiket penerbangan, penginapan dan lain-lain lagi.

“Secara keseluruhan, kami melihat semua persatuan sukan telah membayar apa yang perlu dan kami gembira dengan perkara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga OCM Kali Ke-17 bagi sesi 2018-2021 di Wisma OCM, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata mesyuarat lembaga eksekutif selama dua jam itu hanya membincangkan agenda jawatankuasa dan perkara berbangkit yang memerlukan keputusan ahli lembaga eksekutif, termasuk isu melibatkan Sukan SEA Filipina.

Ditanya mengenai status atlet catur dan e-sukan di bawah kategori B yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya dwitahunan itu, Mohamad Norza menganggap perkara itu akan dilihat secara kolektif dalam mesyuarat bersama semua persatuan sukan di bawah gabungan MOM yang bakal hadir.

“Banyak perkara yang dibincangkan tadi, terutama prestasi mereka yang di bawah kategori B dan juga kategori B2 yang telah berjaya. Namun, perkara ini akan dibincangkan secara kolektif dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kami akan melihat cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Untuk rekod, Kategori B memerlukan persatuan sukan kebangsaan membayar sendiri pembiayaan atlet terbabit dan hanya akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) jika mereka memenangi pingat.

-- BERNAMA