Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memberi kata putus mengenai status penyertaan skuad kanu dan perahu naga dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan sejurus mesyuarat jawatankuasa pemilihan temasya itu minggu depan.

MOM akur dengan arahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk membuat keputusan mengenai isu Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, turut mengesahkan mesyuarat jawatankuasa pemilihan tersebut akan turut dihadiri Presiden MASCA, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, dalam usaha mencapai kata sepakat.

"Senarai nama atlet yang diberikan timbalan presiden (MASCA, Datuk Michael Wong) sebelum ini tiada nama Megat Shahriman.

"Kami berharap apa sahaja perubahan yang dilakukan, ia mesti dilakukan oleh persatuan (itu sendiri). Contohnya Megat Shahriman ada menghantar surat (permohonan), jadi kami akan bawa ia dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan.

"Sebagaimana yang sedia maklum, tarikh akhir (menamakan atlet) adalah 2 September.

"Kami akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk melihat perkara-perkara seperti ini. Malah, bukan melibatkan MASCA sahaja, ia termasuklah sukan-sukan yang tertangguh seperti pasukan menembak dan bola sepak wanita.

"Semua perkara-perkara ini akan dilihat secara menyeluruh," kata Norza.

Sebelum ini, Michael Wong mendakwa presiden MASCA itu enggan menghantar atlet ke temasya dwitahunan itu berikutan Megat Shahriman gagal meyakinkan panel pemilihan untuk dirinya sendiri tersenarai sebagai atlet acara perahu naga.

Kecelaruan dalaman itu juga menjadi faktor status skuad kanu dan perahu naga seakan-akan tergantung, sekali gus mencetuskan kebimbangan menjelang Sukan SEA 2019, tiga bulan lagi.