Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, mungkin terpaksa melupakan impiannya untuk beraksi dalam Sukan SEA Filipina, November depan apabila perlu mengatasi had kelayakan 7.75 meter.

Catatan terbaik pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu sepanjang musim ini hanyalah 7.43 meter, yang dilakar dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand, Januari lalu.

Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia bermula hari ini akan menjadi penentu sama ada dia mampu untuk bersaing dengan atlet normal atau sebaliknya.

"Saya tak berani nak letak harapan tinggilah sebab saya takut.

"Kadang-kadang, dalam setiap kejohanan itu, macam-macam boleh berlaku, jadi saya tak beranilah.

"Sasaran saya, jika saya dapat (catatan) 7.60 meter pun sudah cukup baiklah untuk saya dapatkan momentum lompatan saya balik," katanya.

Keutamaannya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, November depan.

Pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 itu juga mengambil risiko dengan tidak menyertai Grand Prix Paris 25 Ogos ini sebagai salah satu strategi untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam Kejohanan Dunia di London dua tahun lalu.

"Kalau boleh, saya nak cuba untuk layak ke Sukan SEA dahulu.

"Selepas itu, saya akan fokus untuk Kejohanan Dunia.

"Sebabnya, Kejohanan Dunia (berlangsung) dahulu.

"Kalau tak dapat (layak) Sukan SEA, itu maknanya tiada rezekilah, nak buat macam mana.

"Kita cuba Sukan SEA yang akan datanglah," tambahnya.