Gagal konsisten dalam ends ketiga menjadi punca wakil individu compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, sekadar membawa pulang pingat perak selepas tewas 146-141 di tangan pesaing dari Thailand dalam saingan Sukan SEA Filipina hari ini.

Segalanya bermula dengan baik apabila dia berjaya mendahului dalam dua ends terawal walaupun hanya dengan perbezaan tipis.

Namun, wakil dari Thailand, Kanoknapus Kaewchomphu, jelas lebih konsisten dalam ends ketiga apabila mendominasi kutipan mata untuk mendahului 87-86.

Lawan semakin menjarakkan kedudukan dengan mengutip mata penuh dalam tiga panahan ketika ends keempat yang berakhir 116-113.

Fatin cuba untuk bangkit tetapi gagal melakukan panahan mata penuh dalam ends terakhir, sekali gus menyaksikan atlet negara itu akur dengan perak.

"Saya bermula baik tetapi hingga ends ketiga, saya tidak tahu apa yang berlaku. Mungkin kesilapan saya sedikit tersasar sambil lawan beraksi cemerlang," katanya.